Friday, March 13, 2015

PADU berjumpa dan berbincang dengan Presiden CAP

DEMI mengorak satu lagi langkah kehadapan dengan tertubuhnya Persatuan Pengguna Dungun (PADU). Ini menunjukkan keprihatinan NGO terbabit dalam membela nasib rakyat. PADU bakal menjadi sebuah NGO yang vokal dan agresif mengetengahkan isu-isu kepenggunaan kepada masyarakat awam dan pihak berwajib.

NGO tersebut telah sah berdaftar pada Februari 2015 dengan Badan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Objektifnya adalah untuk menyedarkan masyarakat khususnya para pengguna tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam membentuk kehidupan yang lebih seimbang dan sejahtera di Terengganu.

Secara umumnya NGO adalah sebuah badan yang bebas dari kawalan kerajaan. Justeru keberadaannya amatlah penting sebagai ejen periksa dan imbang kepada dasar-dasar dan polisi kerajaan. NGO sebagai suara pendesak boleh membuat tuntutan untuk membatalkan apa-apa peraturan yang dilaksanakan kerajaan. Ia juga boleh mendesak kerajaan menetapkan beberapa peraturan baru yang sejajar dengan keperluan masyarakat.

Untuk tujuan tersebut, PADU memulakan gerakerja dengan mengunjungi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk menimba pengalaman dan tunjuk ajar disamping merangka beberapa program bersama selepas ini. Berbagai aktiviti telah dirangka untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna Terengganu.

CAP adalah sebuah NGO pengguna yang amat terkenal di Malaysia. Ianya ditubuhkan sejak 1971. Berbagai tuntutan dan aktiviti telah dikemukakan dan keberadaannya sebagai NGO pendesak amat berkesan. Walaupun berdaftar sebagai sebuah NGO negeri, tetapi peranannya melibatkan seluruh Malaysia malahan turut bekerjasama dengan badan-badan pengguna di negara-negara lain.

Menurut Pengerusinya Hj Abdul Hamid Ismail, melihat kepada tahap kesedaran masyarakat khususnya dalam hal kepenggunaan dan hak mereka sebagai rakyat yang masih nipis, PADU bercita-cita untuk menjadi NGO yang mewakili seluruh rakyat Terengganu walaupun berdaftar atas nama Dungun.

"Walaupun Terengganu antara negeri yang paling banyak persatuan pengguna, peranannya untuk membela nasib rakyat masih kurang sedangkan masalah yang timbul seperti kenaikan kos sara hidup, kenaikan cukai pintu, isu pembangunan dan kualiti produk yang ditawarkan amat meruncing."

"Terengganu menjadi antara negeri pengguna terbesar kerana kebanyakan produk tidak dihasilkan di negeri ini. Sekiranya lapangan ini tidak diambil berat, pengguna Terengganu boleh dimanipulasikan sesuka hati oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab." Jelas beliau. 

Mengapa harga barangan belum diturunkan?

Rakyat tidak puas hati.........

Rata-rata sekarang rakyat meluahkan rasa tidak puas hati kerana sungguhpun harga petrol dan diesel telah turun namun harga barangan masih mahal. Kami di CAP bersimpati dengan keadaan ini kerana kami sendiri adalah pengguna dan memang kos taraf hidup semakin meningkat hari demi hari. Agak mengecewakan kerana tidak seorang pun yang berani tampil untuk menjelaskan kenapa harga barangan belum turun. Apa yang pasti terdapat beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Beberapa faktor yang mungkin dapat menjelaskan kenapa harga barangan tidak diturunkan termasuklah:

1. Penurunan harga barangan mengambil masa untuk dilaksanakan. Jika harga barangan tiba-tiba jatuh, ia akan menunjukkan bahawa harga barangan di Malaysia tidak mantap dan ekonomi negara berada dalam keadaan bahaya.

2. Kedudukan Ringgit Malaysia dan hakikat bahawa kebanyakan barangan yang dijual di Malaysia diimport dari negara lain juga menyebabkan barangan di sini masih tinggi. Perlu diambil kira bahawa:
a. Ringgit Malaysia semakin melemah.
b. Kita mengimport kebanyakan barangan keperluan kita.
c. Kita membayar barangan dalam matawang dolar Amerika.
d. Harga barangan di pasaran dunia telah meningkat.

3. Sindrom orang tengah.
Sehubungan itu, kami ingin mencadangkan beberapa perkara kepada semua pihak yang terlibat:
1. Orang ramai perlu bersabar kerana bantahan secara membuta tuli tidak akan membawa kita ke mana. Ada perkara yang lebih penting dan tidak ada sesiapa pun yang ingin menyusahkan kehidupan anda.

2. Mereka yang menjual barangan, tidak kira sama ada bahan mentah atau barangan yang sudah siap, tidak sepatutnya menangguk di air keruh.

3. Sementara kerajaan tidak boleh dan tidak sepatutnya menurunkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya, mereka perlu mengadakan perjumpaan dengan Dewan Perniagaan, Persatuan Penjaja, Persatuan Restoran dan kesemua Persatuan Pengangkutan yang terlibat, dan membincangkan isu penting ini serta mengemukakan jalan penyelesaiannya. Dengan itu pengeluar, peruncit, penjual makanan dan sebagainya boleh diarahkan supaya menjalankan perniagaan mereka secara wajar, bertanggungjawab dan beretika.

4. Hapuskan peranan orang tengah terutama memandangkan dalam masyarakat kita orang tengah bukan cuma seorang, tetapi mungkin melibatkan beberapa orang. Akhirnya, penggunalah yang terpaksa menanggung kesan buruk daripada sindrom orang tengah yang tidak sepatutnya wujud ini.

Seperkara lagi, CAP beranggapan hasil keluaran Malaysia (termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin) dan ternakan (ayam, kambing dan sebagainya) perlu diharamkan daripada dieskport. Di sebalik memberi tumpuan kepada keuntungan komersial hasil daripada kegiatan mengeksport barangan ini, kita seharusnya memberi tumpuan kepada memenuhi permintaan makanan untuk rakyat tempatan.

CAP percaya bahawa jika semua orang bekerjasama, bertolak ansur dan berusaha ke arah mencari jalan tengah, maka kita pasti mampu mengharungi saat-saat yang sukar ini dan menukar kepada keadaan yang menguntungkan semua pihak.

Surat kepada Pengarang,  17hb. Februari 2015 

Thursday, February 12, 2015

PERSATUAN PENGGUNA DUNGUN (PADU)

Alhamdulillah PADU telah lahir pada 2hb Feb 2015 disaat keperitan hidup seluruh pengguna di Negeri Terengganu ini khususnya di kawasan Dungun dan Kemaman yang terkenal dengan nama lonjakannya sebagai Kuwait Malaysia.

Tujuan dan Matlamat Penubuhan PADU :
1. Mengenal pasti dan memantau serta menangani permasalahan pengguna.
2. Meneliti dan membantu serta memperjuangkan kepentingan golongan pengguna.
3. Memberi pendidikan dan kesedaran kepada golongan pengguna.
4. Menjalin hubungan dan kerjasama dengan persatuan pengguna dalam dan luar negara

Keahlian adalah terbuka kepada seluruh masyarakat Dungun, Terengganu yang berumur 18 tahun keatas dengan mengemukakan borang permohonan yang akan mula diedarkan selepas mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengguna Dungun pada 18hb Februari 2015 akan datang.

Majlis Pelancaran Persatuan Pengguna Dungun (PADU) akan diadakan dalam masa terdekat. Pihak Jawatankuasa telah bersetuju pertandingan mencipta logo PADU diadakan mulai sekarang hingga tarikh pelancaran nanti. Hadiah wang tunai RM300 disediakan untuk pemenang terbaik mencipta logo ini in shaa Allah.

Yuran masuk penyertaan ialah RM100.00 dan yuran tahunan RM24.00. Yuran masuk ini untuk menampung perbelanjaan operasi PADU dan juga pemberian baju korporate PADU kepada semua ahli semasa majlis pelancarannya nanti in shaa Allah.

Sila what'sapp atau SMS kepada Presiden PADU untuk borang keahlian 019 982 2494